Saturday, August 15, 2009

H1N1.

Pada saat rakyat Malaysia sedang menghadapi wabak H1N1, pada hari ini warga SMK Tat Beng telah pun mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin memohon perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah agar wabak yang sedang melanda negara akan dapat dibendung. Para pelajar lelaki dan guru beragama Islam menunaikan solat hajat berjemaah di Dewan Terbuka manakala pelajar dan guru perempuan pula menunaikan solat hajat di surau.

Kemudiannya, warga SMK Tat Beng sekali lagi berkumpul beramai-ramai di Dewan Terbuka bagi membaca surah Yasin. Pelajar bukan Islam pula berkumpul di kantin sambil mendengar taklimat mengenai penjagaan kesihatan. P&P dimulakan pada jam 9 pagi.

Warga SMK Tat Beng juga turut bersimpati dan merasa bimbang kerana sebahagian besar daripada pelajar telah pun menghidap demam, selsema serta batuk. Oleh yang demikian, adalah dinasihatkan agar para pelajar serta guru mengambil langkah yang sewajarnya untuk berjumpa doktor sekiranya telah menghidap demam, batuk atau selsema. Tindakan segera boleh menyelamatkan nyawa kita serta orang-orang di sekeliling kita. Selain itu, para pelajar yang demam, selsema dan batuk adalah tidak digalakkan untuk hadir ke sekolah tetapi haruslah melakukan pemeriksaan di klinik-klinik berdekatan.

Warga SMK Tat Beng juga diingatkan agar sentiasa membersihkan diri, minum air yang banyak serta mengelakkan majlis-majlis keraian. Semoga warga sekolah sentiasa berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.


No comments:

Post a Comment